Hadiah 33 tahun ceburi tenun songket – HabibahMarch 24, 2007
Jiwa seni yang diwarisi daripada bapanya dan minatnya terhadap seni lukis dan songket telah membawa kejayaan kepada Habibah Zikri, 59, apabila dipilih menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara 2007. Habibah merupakan perintis kepada tenun songket bercorak grafik moden, menenun ayat-ayat al-Quran untuk dijadikan songket hiasan dan mengaplikasikan teknik tenun ikat dan pua dalam tenunan songket yang dihasilkan. Di samping mengekalkan corak tradisi pada pakaian, sarung dan sampin, beliau turut menghasilkan rekaan songket untuk hiasan dalaman, kelengkapan rumah dan cenderamata. Beliau yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, kemenangannya adalah hadiah kepada pengorbanannya selama 33 tahun mengabdikan diri dalam seni tenun songket. Katanya, songket tenun adalah satu warisan yang harus diwarisi oleh semua generasi kerana ia melambangkan identiti budaya serta mampu mengangkat martabat seni Melayu di persada dunia. "Pada saya, selama 33 tahun menceburi bidang tenunan songket, banyak boleh dilihat pada seni ini. "Jika dahulu, songket tenun hanya ditumpukan kepada pakaian, sarung dan sampin tetapi kini ia telah diaplikasikan kepada hiasan dalaman, kelengkapan rumah dan cenderamata malah coraknya telah dipelbagaikan, bukan sahaja tradisi malah kontemporari. "Ini menunjukkan seni warisan tenun itu mempunyai potensi untuk terus berkembang sekiranya ada usaha-usaha yang boleh menambah nilai kepada sesuatu produk itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Habibah menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara 2007 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam. Beliau menerima wang tunai RM30,000, sepersalinan songket dan watikah iringan. Habibah mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Sungai Petani dan kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan tekstil pada tahun 1971 di Institut Teknologi Mara, kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau memberitahu, kemenangan yang diperoleh semalam tidak akan membuat dirinya puas. "Saya sebenarnya bukan seorang yang mudah berpuas hati. Kerja saya ialah mencuba dan mencuba rekaan sampai saya puas hati. Mengeluarkan songket ini ialah satu kerja seni, kita buat ciptaan dari segi warna, teknik, benang, corak, kita cuba sampai jadi cantik. "Sebab itu harganya tinggi, kita buat sampai puas hati," katanya.