Bibah Songket - Pilihan eksklusif orang kenamaanMay 10, 2005
Benar kata orang, jika ada kesungguhan, disertakan dengan bakat semula jadi, setiap individu mampu mengukir kejayaan untuk masa depan mereka. Bibah Songket, adalah satu nama yang sinonim dengan songket buatan tangan eksklusif di kalangan peminat seni songket tempatan. Dalam meniti kejayaan yang dikecapi selama hampir 20 tahun, rata-rata peminat songket tempatan, malahan luar negara sudah mengenali songket buatan Habibah Zikri atau lebih dikenali dengan Bibah Songket. Songket rekaan Habibah yang eksklusif tercetus daripada permintaan dan cita rasa tempatan dan luar negara. Semasa ditemui pada sesi lawatan media yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia di Kuala Terengganu baru-baru ini Bibah, 57, ternyata gembira dengan sambutan hebat terhadap songket buatan syarikatnya. Beliau memberitahu, pembuatan apa sahaja jenis tekstil terutama songket sentiasa memukau setiap orang. Menurut Bibah, ramai yang telah menggunakan tekstil sebagai percubaan untuk melahirkan cita rasa mereka kerana menyifatkan keharmonian seni dan keagungan ciptaan Tuhan boleh digabungkan bagi menghasilkan keunikan dalam penciptaan. Begitu juga dengan Bibah yang mula memikirkan untuk bergiat dalam industri ini ketika beliau sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1970-an. Sepanjang belajar beliau mempelajari dan melakukan kaji selidik tentang pelbagai penggunaan tekstil tenunan yang bermutu sehinggalah kepada mencipta songket. Beliau juga telah mendapat kepercayaan untuk bertugas di Kraftangan Malaysia selama 10 tahun. Dengan bakat yang ada pada dirinya, Bibah, meneroka bidang ini secara serius.